Jumaat, Februari 19, 2010

Mengail Ikan Puyu


Menjadi kebiasaan bila cuti agak panjang sedikit seperti adanya perayaan, kami akan pulang ke kampung Masjid Tinggi untuk berkumpul. Rumah yang telah ditinggalkan sekian lama cuma dijengah sekali sekala untuk tidur semalam dua. Mertua yang tinggal bersama ipar di Kemunting sungguh teruja jika kembali  kesini umpama kata bidalan, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain.

Jika pulang kekampung macam macam aktiviti boleh dilakukan. Yang tua cara tua. Yang muda cara muda. Antara yang menarik sekali ialah memancing ikan puyu. Yang muda pun turut tidak melepaskan peluang ini. Kebetulan parit yang terletak di gigi laman rumah mengandungi beberapa spesis ikan. Antaranya ikan puyu, keli, haruan, sepat dan lain lain.
Ikan puyu merupakan ikan yang paling banyak dan mudah di tangkap. Samada menggunakan pancing, jala atau turun ke parit dan menggagau. Kanak kanak pun boleh mendapat jika memancingnya. Kanak kanak sekecil Hanafi, anak monakan baru 4 tahun  sudah mampu memancing ikan puyu sendirian.
 
 Parit ini dipanggil Parit Panchor. Ia dipanggil parit buang sebab air daripada bendang bendang disebelah atas dialirkan ke sini sebelum masuk ke sungai. Pada musim menunggu padi masak parit tersebut  cetek disebabkan sawah padi perlu dikeringkan. Selalunya musim menanam pula parit ini akan dipenuhi air. Pada masa tersebut keadaan parit amat merbahaya kepada kanak kanak.
Ikan puyu merupakan ikan yang sangat lasak. Walaupun diletakkan di darat dalam beberapa jam, ikan ini masih mampu hidup. Ianya boleh bergerak menggunakan sirip dan sisiknya yang keras untuk mencari lopak air. Spesis ikan puyu ini hidup berkumpulan dan oleh sebab itu ia mudah diperolehi dengan banyak.
Dalam masyarakat melayu terdapat satu kepercayaan di mana ikan puyu boleh menjadi penghalang ilmu pukau kepada isirumah. Itu sebabnya terdapat segelintir masyarakat memelihara ikan ini dalam akuarium selain menjadi ikan hiasan. Oleh kerana sifatnya yang tahan lasak ia tidak perlukan pam oksijen untuk memeliharanya.
 Itu dia anakku Hilman bersama 2 orang sepupunya pulang membawa rezki untuk santapan tengahari. Ikan ikan itu kata mereka perlu dimasak goreng berlada. Ada juga permintaan supaya dimasak kari. Apapun terpulanglah kepada tukang masaknya.
Ikan puyu melompat-lompat,
     Lompat mari sawah padi;
Macam mana muka tak pucat,
     Baru demam pagi tadi.
Sehingga entry ini ditulis, alhamdulillah mereka tak demam. Maklumlah kulit naik hitam akibat sekerat hari terkena simbahan terik matahari.

2 ulasan:

  1. Salam

    Seronoknya balik kampong!Ingat masa kecik2....
    Harap kita semua tak lupa asal usul.

    BalasPadam
  2. Salam mama ju

    Memang seronok. Mana yg kita tak suka dulu pun kini menjadi suka. Tambahan pula benda yg kita suka masa dahulu...

    terima kasih

    BalasPadam