Isnin, Ogos 30, 2010

Kembalinya Kerahmatullah Ibu Mertuaku

 27 Ogos 2010, Jumaat adalah hari yang amat  sedih bagi kami. Pada pukul 3:05 pm ibu mertuaku Allahyarhamah Halimah Binti Mat menghembuskan nafas terakahirnya pada usia 80 tahun setelah sakit tua selama 35 hari. Arwah yang tinggal bersama adik iparku di Kemunting dikebumikan di kampung halamannya di Gunong Semanggol. Kini jenazahnya bersemadi di tanah perkuburan Gunong Semanggol berhampiran Sekolah Menengah Agama Ma'had Al-Ehya Assharif. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dikumpulkan bersama sama orang yang beriman. Alfatihah.

Khamis, Ogos 26, 2010

Asal Perkataan Elektrik

 Orang Melayu dikatakan mengambil perkataan ELEKTRIK daripada perkataan Inggeris yang juga ELECTRIC. Tetapi yang sebenarnya, ELECTRIC itu diambil dari perkataan Melayu campur Inggeris.
 

Ceritanya… . Pada suatu masa dulu selepas setahun Thomas Edison mencipta lampu, saintis tidak pernah terfikir memberi nama kuasa yang menyebabkan lampu itu hidup. Jadi, entah macam mana semasa lampu mula-mula hendak diperkenalkan di Tanah Melayu, ada seorang Melayu yang bernama Kulup Kalimantang mati-mati tidak percaya pada hasil ciptaan Thomas Edison itu. Semasa demonstrasi diadakan oleh Thomas di Tanah Melayu untuk memperkenalkan lampu itu, Kulup Kalimantang pun berkata dengan kuat.
“Ele..trick aje tu… ele..trick aje… ele trick!”. ( Bermaksud tipu )
 

Thomas Edison berfikir Kulup berkata begitu kerana mengatakan lampu menyala disebabkan oleh kuasa “ele..trick” . Jadi digunakanlah perkataan “ELE..TRICK” yang dieja ELECTRIC mengikut ejaan orang putih. Sebagai mengingati jasa Kulup Kalimantang menamakan kuasa ELECTRIC itu, maka diciptalah sejenis lampu panjang yang dinamakan lampu kalimantang.

*sumber: email

Selasa, Ogos 24, 2010

Di Kejar Polis

Sejurus selepas aku membelok ke kanan melintasi lampu isyarat di atas tiba tiba kedengaran siren polis dari arah belakang. Daripada cermin pandang belakang, aku lihat sebuah kereta peronda mengekori aku. Aku pasti  aku yang dikejar sebab tiada kereta lain yang berhampiran. Tiba tiba polis tersebut memintas keretaku dan mengarahkan aku berhenti.  Sepantas kilat fikiran aku berkata ini mesti gara gara lampu isyarat. Peristiwa berlaku di sebuah pekan kecil bernama Kubu Gajah, Selama Perak. Pekan ini amat asing bagi aku.

Semasa berhenti di lampu isyarat tadi, sebuah kereta peronda juga berhenti disebelah kiri aku. Oleh kerana jarang sampai ke sini aku sedikit celaru dengan lampu isyaratnya. Simpang empat tidak betul betul seperti huruf " t ". Oleh itu lampu isyaratnya tidak tersusun lurus mengikut arah pandangan. Sekiranya anda berada dalam kereta seperti gambar di atas, lampu isyarat manakah yang akan anda lihat. Jawapannya sudah tentu yang di hadapan anda. Ya, aku pun juga melihat lampu yang berada dihadapan kita iaitu yang berhampiran dengan lori seperti gambar di bawah.

 Sekiranya anda mengambil keputusan seperti aku, anda juga pasti akan di kejar peronda satu hari nanti. Rupa rupanya lampu isyarat untuk anda rujuk adalah yang di sebelah kanan dalam gambar di atas (klik gambar utk lebih jelas). Jika lampu sebelah kanan itu hijau, baru kita boleh jalan.
Orang keliling memerhatikan aku disoal siasat oleh polis peronda. Malu juga rasanya sebabnya orang salah saja yang akan dikejar polis. Tiba tiba sebuah lagi kereta peronda tiba dan parking di belakang kereta aku pula. Aku beritahu padanya aku jarang sangat sampai di sini. Aku keliru dengan sistem lampu isyarat tersebut. Paling masuk akal padanya " mustahil saya langgar lampu isyarat sedangkan encik (polis peronda) berada di sebalah saya, saya mengaku saya silap dan saya nak minta maaf " Dia pun mula nampak berlembut sikit.

Orang kata kalau di tahan polis kena bagi salam cepat cepat. Dia akan balas salam kita. Jadi kalau dia dah ucap sejahtera kepada kita, tak kan dia nak saman. Itu bermakna kita tak akan sejahteralah.

Alhamdulillah, Allah menyelamatkan aku daripada penginayaan sistem lalulintas yang bercelaru tersebut. Yang lebih besar lagi kami didalam kereta selamat daripada kemalangan yang mungkin terjadi akibat daripada kesilapan membaca lampu isyarat.

Untuk memastikan keadaan tersebut berbahaya maka aku ke lokasi tersebut sekali lagi. Aku sempat mengambil beberapa keping gambar ketika berhenti di lampu isyarat tersebut.

Aku sudah melaporkan kecelaruan tersebut kepada JKR Perak melalui aduan online. Apakah aduan tersebut sampai tidak ketahuan sebab tiada respon daripada mereka. Bagi pemandu baru di kawasan tersebut sila berhati hati demi mengelakkan sebarang kemalangan.

Sabtu, Ogos 21, 2010

Nikmat Islam

http://www.thesupercars.org/wp-content/uploads/2008/01/bugatti-veyron-main-post-1.jpg
Anda  memiliki sebuah kereta mewah, teramat mewah dengan kecanggihan segala sistem. Satu satunya kereta yang tidak pernah dimiliki oleh orang lain. Kereta paling laju didunia. Mempunyai sistem penghawa dingin yang nyaman. Sistem keselamatan yang terbaik menjanjikan keselamatan kepada anda dan macam macam ada lagi,

Kereta tersebut anda simpan di garaj dan diselimuti sepanjang masa. Apabila anda ingin menatapnya barulah anda buka selimut tersebut namun anda tidak pernah memandunya.

Persoalannya adakah anda menikmati pelbagai ciri ciri kemewahan dan kecanggihan kereta tersebut. Di manakah datangnya nikmat memiliki kereta tersebut?

Segala keistimewaan kereta tersebut hanya dapat anda nikmati apabila anda masuk ke kereta itu. Selepas itu anda hidupkan injinnya. Hidupkan segala sistem dalam kereta tersebut. Ajak teman naik bersama. Pandu ikut peraturan jalan raya. Maka anda akan rasai kebahagian di jalan raya.

Begitulah dengan Islam. Setiap manusia kena masuk ke dalam Islam dahulu. Hidupkan atau tegakkan segala rukun yang diwajibkan. Kerjakan ibadah ibadah sunat. Maka anda akan rasai andalah antara orang islam yang paling bahagia.

Oleh itu sesiapa yang tidak menganut islam ataupun sudah islam tapi tidak mengamalkan cara hidup islam maka tiadalah dapat merasai dan tahu akan kecanggihan islam itu.

Rabu, Ogos 18, 2010

Yakin Dengan Penembak Tepat.

Hungarian Olympic shooter Karoly Takacs
Anda bertemu satu perhimpunan di satu kawasan lapang. Orang sungguh ramai menumpukan kepada sesuatu. Apakah yang berlaku? Demi ingin mengetahui anda mengisut ngisut sambil memerhatikan ke arah tumpuan semua orang. Anda sudah mula nampak sesuatu tetapi masih belum jelas.

Untuk mendapatkan sudut yang baik anda teruskan usaha meloloskan diri hingga kehadapan. Sedikit demi sedikit sudah dapat mengagak sesuatu. Hinggalah anda berada betul betul hampir dengan dan anda sudah tahu rupanya ada satu acara pertunjukan menembak.

Seorang penembak tepat telah diundang untuk membuat satu pertunjukan aksi menembak sebiji epal di atas kepala orang. Bagi memulakan acara, penembak tepat itu meletakkan sebiji epal di atas kepala kawannya. Para hadirin mula berasa cemas, ada yang berundur, ada yang menutup muka dan ada yang terus lari dari tempat acara tersebut.

Apabila beliau telah bersedia, tembakan pertama dilepaskan. Serta merta epal tersebut hancur berderai tanpa meninggalkan sebarang kesan kecederaan pada kawannya.

Untuk percubaan ke dua, penembak tepat memanggil salah seorang penonton berhampiran anda untuk menggantikan tempat kawannya tadi. Dengan beraninya penonton itu kehadapan dan diletakkan epal atas kepalanya. Melihat kepada gaya tembakannya, menampakkan beliau seorang yang pakar menembak . Pada masa itu juga anda percaya penembak tepat itu pasti berjaya melakukannya sekali lagi. Memang benar sebiji epal lagi berderai.

Untuk meneruskan pertunujukannya, penembak tepat itu mula mencongak siapakah penonton pilihan seterusnya. Mungkin kerana beliau melihat kesungguhan ada di riak wajah anda sejak mula lagi tadi, maka anda telah dipilihnya untuk kehadapan. Kali ini sebiji epal akan diletakkan diatas kepala anda dan penembak tepat akan menembak dari arah belakang  pula.

Apakah keputusan anda? Adakah anda setuju? Sekarang anda sudah tahu dia penembak tepat. Anda juga telah percaya dia mempu melakukannya. Tetapi anda mula terbayang anak isteri di rumah. Kereta mewah yang anda pandu tadi. Syarikat yang anda uruskan. Gaji yang anda terima setiap bulan dan berbagai yang terfikir sebelum membuat keputusan. Anda enggan. Rupanya anda masih tidak yakin lagi kepadanya.

Begitulah keadaannya kita dengan Allah. Kita tahu Allah ada. Kita percaya kepada Allah dengan sifatnya malah percaya dengan kitab serta Rasulnya. Tetapi amat sukar untuk kita yakin dengan janji Allah.

Isnin, Ogos 16, 2010

Puasa Ibadat Atau Puasa Adat

Telah hampir seminggu kita mengharungi bulan ramadhan dengan berpuasa, bertarawikh serta lain lain ibadat sunat demi mendapatkan keredhaan Allah atas diri masing masing. Suasana di surau atau masjid mengharukan dipenuhi para jemaah. Dari manakah datangnya? Yang pasti bukan makhluk dari planet lain atau jemaah dari tempat lain. Mungkin keadaan ini dapat memperkenali golongan golongan yang terantai selama ini seperti terantainya syaitan kini. Mohon agar kita bukan dari kalangan ini.

Kita masih dalam fasa pertama, 'rahmah' iaitu kasih sayang. Fasa berikutnya ialah 'maghfiroh' iaitu keampunan dan fasa terakhir, 'itqun minnar'  iaitu kebebasan dari api neraka. Marilah kita memanfaatkan semaksimumnya kesempatan yang diberi oleh Allah ini. Kita pastikan, sesungguhnya apa yang kita buat ini adalah kerana ingin beribadat. Insyaalah apa yang kita lakukan di fasa pertama pasti akan dapat kita lakukan hingga ke fasa tiga iaitu ke akhir ramadhan. Jika solat tarawikh malam pertama ada 10 saf, biarlah di malam terakhir juga 10 saf. Kita ingin beribadat. Ibadat perlu dilakukan berterusan. Jika tidak jadilah ianya seperti adat, mula sahaja ramai akhirnya sedikit.

Khamis, Ogos 12, 2010

Masjid Al Taqwa, Ayer Tawar, Perak

Masjid ini kecil sahaja tetapi mempunyai kemudahan yang sempurna. Karpet yang baru dan bersih berserta sistem penghawa dingin membuatkan para jamaah berasa selesa.
Lokasinya di dalam taman perumahan merupakan tapak yang terbaik untuk mendirikan masjid. Sesetengah masjid terletak berjauhan dari penempatan menyebab jemaah kurang ke masjid. Mereka lebih suka ke surau berdekatan.

Selasa, Ogos 10, 2010

Marhaban Ya Ramadhan

 


Majlis Raja Raja telah menetapkan tarikh melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa adalah hari ini 10 Ogos 2010 bersamaan 29 Syaaban 1931. Sekiranya umur kita panjang dan anak bulan dapat dilihat maka esok adalah tarikh permulaan puasa untuk kita selama sebulan. Tetapi jika umur kita pendek maka kita akan 'berpuasa' selama lamanya.

Pelbagai macam reaksi manusia menyambut ketibaan ramadhan. Ada yang hatinya gembira kerana ingin mengambil kesempatan menambah pahala di kesempatan bulan berkat yang mana setiap amalan wajib itu akan digandakan sepuloh kali manakala amalan sunat pula jika dilakukan pahalanya sama dengan amalan wajib,

Ada juga manusia yang gembira kerana ia baharu sahaja mendapat lesen berniaga di bazar ramadhan. Ingin menambah pendapatan di kesempatan orang berbelanja besar menjamu selera ketika berbuka puasa.
 
Ada yang menyambut ramadhan dengan perasaan susah hati dan risau. Ramadhan seperti rasa terpaksa dilalui untuk menyambut hari raya. Banyak kedai makan akan ditutup di siang hari. Di mana perlu mendapatkan makanan. Begitulah orang jahil sering menganggap ianya merupakan satu bebanan dan penyeksaan.
 
 Ramadhan akan datang dan pergi seperti dahulu. Rebutlah bulan anugerah Allah yang penuh keberkatan ini dengan amalan amalan wajib dan sunat. Ramai orang takut batal nya puasa mereka tapi tidak pula takut batalnya pahala puasa mereka. Oleh itu marilah kita melakukan yang terbaik agar puasa kita tergolong dalam puasa khususul khusus.

Sabtu, Ogos 07, 2010

Allahyarham Sidik Bin Mohd

Sumber:http://mazidulakmal.blogspot.com/2010/08/selamat-tinggal-ayah.html
Aku baru sahaja sampai di rumah selepas pulang ke kampung menziarahi kematian Pak Sidik.  Arwah meninggal dunia hari ini 7 ogos 2010 pukul 2:10 am di Hospital Sungai Buloh. Satu kehilangan besar kepada kampung kami. Arwah merupakan imam 1 di kampung yang memainkan peranan menggerakkan dan memakmurkan surau. Apa sahaja majlis seperti tahlil, marhaban, qurban dan lain lain beliaulah yang paling hadapan. Arwah juga merupakan guru Al-Quran dikampung. Bukan sahaja kanak kanak malah orang tua juga masih mendapatkan perkhidmatannya dalam mendalami ilmu Al Quran.

Kini ramadhan hampir tiba. Para penduduk mula berbincang untuk mencari pengganti arwah. Kekuatan dan kegigihannya selama ini tidak melambangkan usianya yang agak lanjut. Walaupun penat di siang hari tetapi arwah masih mampu mengapalai apa sahaja majlis di bulan ramadhan. Arwah juga aktif menganjurkan majlis tadarus. Ketika zaman persekolahan dulu aku sudah mula menyertai beliau. Banyak ilmu Al Quran dipelajari sambil bertadarus bersamanya.

Kali terakhir aku bertemunya beberapa bulan lepas. Walaupun kesihatan beliau mulai merosot setelah mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh, tetapi masih mampu mengimamkan solat jemah. Berita ketika arwah dirawat boleh dibaca di sini. 

Aku harap sahabatku Mazidul semoga kelian tabah menghadapi ujian daripada Allah ini. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang orang yang beriman.

Jumaat, Ogos 06, 2010

Pengunjung Ke 5000

 Selagi ada pengunjung, fikiran masih waras dan yang lebih penting jika hayat masih ada, insyaallah aku akan menulis seadanya.

Rabu, Ogos 04, 2010

Masjid Ar-Rahmaniah, Kg Sungai Wangi, Manjung.


Dalam perjalanan Seri Iskandar - Lumut - Seri Iskandar aku sudah beberapa kali singgah di masjid ini. Walaupun lokasinya lebih kurang 500 meter daripada jalan besar aku sanggup juga membelok kerana amat tertarik dengan keadaan masjid tersebut.
Terdapat kesulitan sedikit bagi kawasan parkir yang terhad. Parkir khas untuk masjid adalah di seberang jalan.
Binaan tandas jemaah wanita di belakang masjid.
Ruang solat dalam masjid sungguh ceria dengan carpet yang berwarna biru dan baru.
Terdapat sebuah gendang yang dipukul untuk menandakan masuknya waktu solat ketika. Tidak pasti samada ia masih digunakan lagi atau tidak. Apapun menjadi bahan tarikan untuk masjid.

Ruang legar di belakang masjid bersih dan tersusun rapi melambangkan kesepaduan ajk dalam mentadbir masjid. Moga masjid ini juga makmur dengan majlis ilmu. Tanpa maslis ilmu maka suramlah masjid.
Tempat melabur saham akhirat
Aku teringat satu kejadian di sebuah masjid ketika dahulu di mana satu duit tabung dicuri menggunakan lidi. Hujung lidi tersebut disapu dengan gam perangkap tikus. Gam ini digunakan kerana ia melekat kuat dan tak kering. Hujung lidi tersebut dijolokkan kelubang tabung itu dengan tujuan untuk memancing wang di dalam tabung. Ajk masjid kena perhati tabung selalu samada ada kesan gam untuk memastikan wang sedekah jemaah tidak dicuri.
Gambar masjid lama
Gambar masjid lama
Lagi gambar masjid lama
Gambar gambar masjid lama tersebut di frame kan dan digantung sebagai gambar kenangan untuk para jemaah. Melihat kepada gambar tersebut kita tahu bahawa masjid ini telah diubahsuai dengan banyaknya bagi membesarkan saiznya.

Ahad, Ogos 01, 2010

Hukuman Karpal Singh


Apabila ada pihak berusaha menegakkan hukum islam maka tidak kurang yang menentang termasuklah orang islam sendiri. Orang kafir apatah lagi, siap ugut konon langkah mayat beliau dahulu sekiranya berangan angan sedemikian.

Mati adalah hukuman penamat iaitu paling keras di dunia ini. Mengapakah Karpal Singh sanggup mencadangkan perogol dihukum mati. Seolah olah beliau sudah mula memperakui ketepatan hukum dalam islam. Dalam islam sesiapa yang telah bernikah didapati bersalah melakukan zina maka dikenakan hukuman rejam sampai mati. Kalau seseorang berzina boleh dikenakan hukuman sedemikian sudah pasti kesalahan merogol tidak boleh lebih ringan daripada itu.

Negara kita mengamalkan undang undang British. Sedangkan di Malaysia ini terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain lain. Tiada pun orang British. Tetapi semua bangsa menerima undang undang itu. Tapi peliknya sukar sungguh untuk menerima undang undang islam walaupun majoriti orang melayu di Malaysia ini islam. Orang cina, india, kadazan dan iban juga ada yang islam.

Undang undang Allah sesuai pada bila bila masa, di mana sahaja dan kepada sesiapa. Kehidupan hendaklah disesuaikan dengan undang undang Allah dan bukan undang undang itu disesuaikan dengan kehidupan kita.