Khamis, Ogos 23, 2012

Berhari Raya Bagai Di Syiria

Sepanjang perjalanan ku kemasjid diiringi bunyi letupan. Di masjid pun letupan tidak henti henti. Namun jemaah tetap meneruskan solat terawih hingga akhir. Sepanjang pulang ke rumah pun masih kedengaran letupan. Ada yang perlahan dan ada yang menggegarkan. Namun aku tetap tenang pulang dengan selamat. Sampai di rumah sudah 11 malam. Pembaca berita Farouk Ismet Amir memulakan dengan isu Syiria. Meletup di sana dan meletup di sini. Aku benar benar dapat menghayati berita tersebut. Sebabnya hampir sebulan sudah letupan demi letupan juga sering berlaku di Malaysia.

Dentuman mercun semakin hebat. Itu petanda hari raya hampir tiba. Dari tahun ke setahun dentuman mercun semakin tidak terkawal. Hingar bunyi mercun dilambangkan sebagai kemeriahan hari raya. Ketiadaan atau kekurangan bunyi mercun dianggap hari raya tidak hidup dan suram. Amat salah jika beranggapan mercun menjadi kemestian untuk menyambut hari raya. Mengikut pandangan PM Dr Asri adalah adalah bidaah sekiranya demikian.

Permainan mercun kini nampaknya sudah tidak terkawal.Walaupun banyak amaran diberi seperti di sini, tetapi orang ramai bagai tidak mengendahkannya. Bunyi mercun yang keterlaluan dilihat sudah menjadikan suasana malam hiruk pikuk. Kawasan masjid dan surau menjadi tempat budak budak bermain mercun. Ketika jemaah bersolat terawih ketika itulah mercun diletupkan dengan hebatnya. Yang sedihnya budak budak tersebut adalah anak di kalangan jemaah itu sendiri. Sudahlah anak tidak diajak solat malah dibiarkan pula mengganggu ketenteraman orang lain.

Fenomena ini dapat aku lihat di beberapa tempat sepanjang ramadhan dan syawal tahun ini. Keadaannya hampir sama sahaja. Bila solat hampir selesai maka kumpulan pemain mercun itu juga selesai bermain mercun. Yang merambu main motor siap sedia untuk menyerahkan kunci motor kepada bapa masing masing.

Budaya main mercun yang tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat. Tidak mustahilianya dianggap satu kemestian suatu hari nanti jika tidak dibendung mulai sekarang. Banyak buruk daripada baiknya, kecederaan, gangguan ketenteraman, membazir. Pihak berkuasa tidak boleh sekadar menggertak sahaja. Memerangi mercun hendaklah dibuat seperti memerangi dadah. 

Jika zaman dahulu kesungguhan pihak polis membendung permainan mercun dan meriam jelas terbukti. Rondaan sering dilakukan. Waima kampung yang jauh pun akan didatangi oleh anggota polis. Seperkara yang kita perlu ingat bahawa mercun itu dibuat daripada belerang. Belerang ini boleh dijadikan bahan letupan. Adalah bahaya sekiranya pengedaran mercun tidak dikawal kerana ia boleh dijadikan senjata. Sudah tiba masanya pembenterasannya dilakukan dengan serius.

Jumaat, Ogos 10, 2012

Imam Muda Yousef Abu Eida Dari Gaza

Masjid Daerah Manjung telah menerima kehadiran imam muda Yousef dari Gaza. Sebelum ini aku dapat bersama imam muda Ustaz Mu'min Falah Ali Hawas di masjid UTP. Ingin tahu berkenaan imam imam muda yang di bawa dari Gaza, sila lihat di sini.

Selepas 4 rakaat pertama diadakan tazkirah daripada Imam Muda Yousef dan wakil Aqsa. Imam Yousef tidak berbicara panjang sekadar meluahkan keperitan yang ditanggung oleh warga Palestin akibat penindasan dan kezaliman daripada rejim israil laknatullah. Beliau menyatakan tangannya masih terasa sakit akibat dipulas ke belakang oleh tentera israil.

Pada sebelah siang tadi mereka menghadiri satu program di satu organisasi di Manjung. Wakil Aqsa menerangkan dalam majlis tersebut imam muda ini telah menjawab beberapa persoalan yang di utarakan kepadanya. Antara soalah yang dilontarkan terdapat satu soalan yang menyentuh hati wakil Aqsa tersebut. Penanya bertanya lebih kurang begini, "apakah jaminan bahawa kilang roti yang yang dibina daripada wang derma tidak akan dirobohkan". Soalan tersebut seolah olah menggambarkan kesungguhan untuk merasaai bersama keperitan warga Gaza.

Fikran aku terus menjawab, bahawa nyawa mereka (warga Gaza) sendiripun mereka tidak boleh jamin selamat daripada kekejaman israil, mana mungkin ia boleh memberi jaminan terhadap kilang roti yang akan dibina. Apapun imam muda difahamkan telah menjawab dengan berkata bahawa roboh meroboh adalah kerja mereka (israil), kerja kami adalah akan membinanya semula. Sungguh cekal jawapan dari seorang remaja bergelar imam yang baru berumur 18 tahun.

Di masjid, risalah berkenaan program yang dianjurkan oleh Aqsa Sharif untuk membantuk bangsa seugama dengan kita diedarkan. Risalah seperti di bawah. Setiap sumbangan insyaallah ada kebaikannya daripada Allah untuk kita dan untuk warga Palestin.






Khamis, Ogos 02, 2012

Imam Muda Gaza, Palestin

Melalui radio kereta aku dengar Pertubuhan Aqsa Sharif ada membawa 4 orang imam dari Palestine untuk menjelajahi serta mengutip derma ke masjid masjid di Malaysia. Tanpa meletakkan sebarang harapan antara mereka akan singgah di tempat aku, maka cerita dari corong radio tersebut tenggelam begitu sahaja.

Malam isnin lepas aku agak lewat sampai ke masjid maka aku cuma dapat solat dalam kumpulan saf belakang sahaja. Walaupun dalam bulan Ramadhan ini ramai imam imam bertugas dikalangan pelajar pelajar arab di masjid UTP, tetapi imam solat isya kali ini aku dapati agak berbeza daripada biasa walaupun bacaannya ada slanga arab juga. Tidak dapat diterjemahkan dengan bahasa, cuma apa yang aku boleh dikatakan, sungguh seronok, sedap dan syahdu.

Kelmarin aku dapat jawapan siapakah yang mengimamkan solat tempohari. Saya ingin mengajak para pembaca agar jangan melepaskan peluang sekiranya para imam ini berkunjung ke tempat anda. Bagi yang telah dapat bersama mereka sebelum ini pasti dapat menggambarkan akan apa yang aku nyatakan.


Untuk mengetahu jadual senarai lokasi imam imam yang lain sila dapatkan di sini.  Semoga kehadiran mereka di Malaysia mencapai hasrat yang diimpikan.