Jumaat, November 14, 2014

Allahyarhamah Rohaya Binti Abdul Manap.

Pada 7 Nov 2014 jumaat, jam lebih kurang 12.30 am di HKL makcikku (adik bongsu kepada emak) telah menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau lebih mesra dipanggil Acik Babut tidak menunjukkan sebarang kemerosotan pada penyakitnya. Cuma berlaku pendarahan pada salur darah yang digunakan semasa hemodylisis. Setelah rawatan diberikan beliau dan doktor pun mengesahkan beliau dalam keadaan stabil.

Namun takdir di tangan Allah. Sakit bukanlah syarat untuk mati. Sihat bukan syarat mesti hidup. Pada malam tersebut pihak hospital telah menyatakan arwah dalam keadaan kritikal. Warisnya telah dihubungi. Janji Allah telah sampai. Maka saat tersebut juga berpisahlah beliau dengan semua keluarga dan miliknya didunia ini. Moga Acikku mendapat keredhaan Allah dan ditempatkan bersama arwah orang orang beriman. Amin.

Jumaat, September 12, 2014

Bocor, Bocor, Sampai Bila...


Tahun ini 2014 bocor lagi...UPSR. Barangkali calon PMR dan SPM akan mengalami nasib yang sama tidak lama lagi. Awal awal TPM mengatakan kementeriannya disabotaj. Aku naik meluat mendengar jawapan sebegitu. Bukan tahun ni sahaja belaku kebocoran...kalau begitu sudah banyak kali kementerian disabotaj. Mengapa tidak diperbaiki sistem pengurusan peperiksaan tersebut.

Sepatutnya jangan lemparkan andaian terlalu awal. Apa kata TPM jika ada andaian yang mengatakan kementerian sengaja bocorkan supaya peratus peperiksaan meningkat. Oleh itu imej menterinya akan juga meningkat. Aku berpendapat, takkan sampai buat macam tu.

Apa pun ketelusan, keikhlasan dan intigriti seseorang petugas yang perlu diamanahkan tugas penting seperti pengendalian peperiksaan ini perlu diambil berat. Tidak boleh pilih secara sembrono sahaja. Cuma keperibadian terpuji sahaja yang layak diamanahkan tugas sebegini.

Hendaknya kejadian bocor ini tidak akan kedengaran lagi di masa hadapan. Belajar dari kesilapan. Cuma pihak kementerian TPM/KP sahaja yang tahu dimana kelemahan tersebut. Jangan sampai kualiti peperiksaan kita dipertikaikan oleh negara lain. Sedangkan kita tiap tahun ingin menghantar pelajar pelajar kita ke negara mereka.


Khamis, September 11, 2014

Masjid Sungai Long, Jeli, Kelantan

Dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu kami singgah di Masjid Sungai Long, Jeli untuk menunaikan solat jumaat. Ketika melintasi Jeli waktu jumaat masih lambat. Untuk meneruskan ke Gerik agak jauh dan pasti tidak sempat. Kami terpaksa menggunakan GPS untuk mengesan masjid berhampiran. Masjid ini seperti kedudukan di bawah adalah terhampir dengan lokasi kami semasa itu.

Para jemaah masih belum ramai yang tiba. Parkir agak lapang lagi. Masjid tidak berapa besar mungkin tidak berapa ramai kariah di sini. Kedudukannya agak menarik kerana berada di atas bukit.
Khutbah di baca dengan semangat sekali. Banyak memberi teguran dan peringatan kepada jemaah. Selesai solat imam membacakan doa. Aku agak tersentuh dengan bacaan doa imam tersebut kerana beliau teresak esak menangis ketika memanjatkan doa kehadrat Ilahi. Bagitulah jika iman dapat melihat begitu lemahnya kita dan begitu besarnya kekuasaan Allah. Hanya Allah yang dapat membantu segalanya dalam kehidupan ini. Hanya Allah jua yang dapat menyelamatkan kita daripada kesilapan yang kita lakukan daripada terus terjerumus ke neraka kelak.





Rabu, September 03, 2014

Allayarhamah Khadijah Binti Isa (Mak Long Minah)

Mak Long Minah adik kepada bapa mertuaku talah menghembuskan nafas terakhirnya pada 31/8/2014 jam 6.40 petang. Jenazahnya telah dikubumikan bersebelahan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Banjar Masjid Tinggi Bagan Serai. Beliau telah mengiringi pemergian ibunya 8 bulan lepas.

Semoga Pak Long, anak anak dan seluruh keluarga tabah menghadapi saat kesedihan ini. Al Fatihah.

Selasa, Jun 24, 2014

Allahyarham Mhd. Nordin Bin Mahiram

Di saat hati masih hiba berikutan pemergian Pak Ngah 9 hari lepas , seorang lagi pak cik aku (Pak Udin) telah kembali kerahmatullah pada 19 Jun 2014 pada pukul 12.55 am di Institut Jantung Negara.

Isnin, Jun 16, 2014

Allahyarham Pak Ngah Shamir Bin Mahiram

Pak Ngah adalah adik kepada arwah bapaku ia itu anak yang ke 3. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 10/6/2014 bersamaan hari selasa pada waktu 12:38 pm setelah sebulan dimasukkan ke HKL.

Setelah kematian bapaku arwah Pak Ngah telah lebih mengambil berat hal adik beradik ku. Terserlah di hatinya akan perasaan ingin melihat kami terus kuat mengharungi kehidupan yang mendatang. Pemergian arwah ayah tatkala usianya 40 tahun dan anak anak mula membesar memang perit untuk diterima. Akan tetapi ketentuan Ilahi lebih mengatasi segalanya. Segala dugaan kehidupan hanya disandarkan kepada emak. Akan Allah tidak membiarkan hambanya. Pak Ngah banyak membantu. Di usianya yang masih muda hingga berkeluarga, kasih dan bantuan yang diberi tidak berkurang. Bagai rahmat diturunkan oleh Allah isterinya (mak Ngah) mempunyai pekerti serupa dengannya. Syukur kami memiliki mereka. Jasanya dan Mak ngah tidak dapat aku sebut satu persatu apatah lagi untuk membalasnya dengan harta dan wang. Aku yakin Allah menilai setiap pengorbanan yang mereka curahkan.

Ya Allah, kami redha dengan ketentuanMu ini. Ya Allah kami pasrah dengan ujian ini. Namun aku berharap kepada Mu agar dikuatkanlah iman ini. Agar diringankan tulang belulang ini untuk beribadah kepadamu. Agar kau terima amalan ini. Agar jika ada kebaikan daripada penyerahan diri ku ini kepada mu maka ada manfaatnya buat orang orang yang kukasihi yang telah pergi dahulu daripada ku. Al-fatihah.

Selasa, Mei 27, 2014

Coklat Haram

 "Jika dikumpul jumlah makanan haram yang termakan oleh kita boleh menyamai lebih daripada seekor babi" Begitulah kata kata seorang ustaz yang pernah saya dengar sebelum ini. Pada mulanya agak keterlaluan bagi saya menerima kenyataan tersebut, namun melihat kepada isu terkini rasanya ada kebenaran kata ustaz tersebut. Begitulah terdedahnya kita setiap hari dengan makanan haram walaupun ianya sudah dijamin oleh pihak yang mempunyai kuasa(Jakim) untuk mengesahkan kehalalannya. Itu belum mengambil kira makanan yang tidak mempunyai pengesahan halal. Lebih teruk lagi ada sebilangan masyarakat yang langsung tidak memikirkan soal halal haram.
Apabila timbul isu haramnya sesuatu makanan yang melibatkan penerima sijil sah halal maka kita melihat pihak berwajib bersikap agak berkompromi dengan syarikat pengeluar. Amat berat untuk mengumumkan nama produk. Jika diumumkan pun masih mengambil sikap seolah olah ingin memelihara keselamatan perniagaan syarikat tersebut.
Merujuk kepada isu coklat Cadbury yang mengandungi bahan daripada babi, kita tidak nampak satu tindakan yang serius yang boleh diambil oleh pihak berkuasa demi menjamin isu sebegini tidak berulang lagi. Puncanya pihak berkuasa tidak melihat terjadinya perkara ini disebabkan sekadar satu kesilapan. Mengapa tidak menganggap ianya satu agenda untuk menghina Islam.
Makan makanan haram akan mendatangkan impak yang buruk kepada pembentukan rohani masyarakat islam. Masyarakat bagaimanakah akan terbentuk akan datang sekiranya pembesarannya bergelumang dengan makanan tidak halal. Tindakan berat terhadap pihak Cadbury contohnya perlu diambil demi satu pengajaran kepada lain lain syarikat yang cuba memperlekehkan Sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jakim.

Selasa, April 08, 2014

Masjid Sultan Ismail, Kuala Terengganu.

Dikesempatan berada di Kuala Terengganu kali ini aku ambil kesempatan untuk meminta rakan orang Dungun Saudara Razif untuk membawa aku ke masjid paling cantik di sini. Dengan selamba Razif jawak ok, ok. Selang beberapa minit kami sudah sampai di perkarangan masjid ini. Ketika itu waktu maghrib agak lambat lagi. Aku ambil kesempatan meninjau beberapa sudut dan merakamkan sedikit gambar untuk kenangan.
Memang aku setuju dengan Razif. Memang cantik, Jauh bezanya dengan lain lain masjid di Kuala Terangganu ini yang pernah aku rakamkan.






Gambar di atas menunjukkan sebuah bangunan homestay milik masjid yang boleh disewa. Ketika ini homestay ini tidak dihuni oleh pengunjung. Melihat keadaan luarannya ianya amat selesa untuk dihuni. Tempahan boleh dibuat seperti banner di bawah.






Terima kasih kepada Razif dan Azmi yang sanggup melayan aku dan Zuraimi ketika berada di sini. Sotong goreng cicah tepung dan pelbagai makanan lain yang dibelanja amat menyelerakan. Razif dan Azmi adalah bekas pelajar peringkat Master di Universiti Teknologi Petronas, tempat aku bertugas.
Sekiranya anda berkunjung ke Kuala Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke masjid ini.

Jumaat, Mac 21, 2014

MH370 Persoalan Dan Punca

Sudah dua minggu pesawat MH370 hilang. Pelbagai persoalan timbul untuk mencari jawapan mengapa, di mana, siapa, bagaimana punca kehilangannya. Dalam masa dua minggu itu juga pelbagai andaian dibuat oleh pelbagai jenis orang. Ada yang nampak jawapan diberi ikhlas untuk mencari penyelesaian dan ada yang dilihat cuba mengguk di air keruh.

Antara pelbagai andaian tersebut, berita ini paling menarik perhatian aku untuk difikir. Tanpa ingin mengulas, dilihat ada kewarasan. Sila lihat di sini. Apapun hingga saat ini MH370 masih belum dijumpa dan doa masih dipanjatkan kepada Allah yang maha berkuasa dan Maha Mengetahui untuk keselamatan semua penumpang pesawat tersebut.

Isnin, Mac 10, 2014

Masjid Jamek Ahmadiah, Kg Simpang 3, Parit. Perak


Ketika berulang alik ke Taiping, aku kerap singgah di sini untuk menunaikan solat di perjalanan. Ia nya terletak di jalan menghala ke Manong dari Buloh Akar.



Sepatutnya jiwa kita lebih lembut apabila tiap hari melihat keranda di atas. Kita boleh muhasabah diri untuk mengingati mati. Bilakah kita akan dimasukkan di atas pengusung tersebut.



Sabtu, Mac 08, 2014

Allahyarham Mohd. Yusuf (Bapa Kak Umi)

Ketika berada diToyota Service Centre Taiping aku mendapat panggilan daripada isteri yang mengatakan bapa Kak Umi (biras) meninggal dunia. Selesai service aku pun pulang untuk menziarahi jenazah di Kampung Kurnia Tambahan Kemunting.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Ayer Putih depan Kilang Silverstone Kemunting selepas zuhor 8/3/2014. Semoga rohnya bersama roh orang orang beriman. Alfatihah.

Isnin, Februari 24, 2014

Masjid Unisza, Kuala Terengganu

Pulang dari hari kedua kursus aku dan Zuraimi singgah di masjid ini untuk solat maghrib. Walaupun kami sepatutnya boleh sampai ke hotel kerana waktu maghrib lambat lagi, tetapi kami sepakat untuk solat maghrib di sini. Telah lama perasaan mahu singgah kerana teruja dengan rupa bentuk dan warna masjid ini.