Selasa, Januari 21, 2014

Masjid Jamek Lenggong. Perak

Dalam perjalanan menuju Kuala Terengganu bersama kawan sekerja, telah singgah sebentar untuk menunaikan solat asar. Lokasi masjid dapat dikesan melalui GPS. Sekarang otak sudah tidak mahu lagi memikirkan maupun menghafal jalan dengan adanya GPS. Set arah tuju dan jalan. Penggunaannya menyamai fungsi kalkulator membuatkan otak kita sudah tidak mahu lagi menghafal kali kali. Masukkan nombor dah tekan jawapan.
Masjid Lenggong ini sungguh menarik perhatian apabila sesampai sahaja ke perkarangannya. Laksana baru dibina lantaran catnya yang masih baru dan persekitaran yang bersih.
Saudara Zuraimi sedang berwuduk
Selesai berwuduk kami segera masuk ke masjid. Di muka pintu berdiri seorang kanak kanak dengan Surah Yasin di tangan. Aku tengok buku tersebut sudah mulai koyak. Kamera yang masih di tangan tadi terus merakamkan wajah budak tersebut. Aku biarkan beliau sebab kami telah tertinggal 1 rakaat.
Anak siapa agaknya? Bagus membawa kanak kanak ke masjid untuk menanam perasaan cinta masjid dalam jiwa mereka. Apalah sangat nilai surat yasin yang koyak itu berbanding dengan sebuah kecintaan terhadap masjid yang dapat ditanam dalam jiwa kanak kanak itu bagi melahirkan satu genarasi yang mengagungkan dan memartabatkan fungsi rumah Allah suatu hari nanti.
Sudah sampai masanya para jemaah dewasa bijak bertindak menghadapi kerenah kanak kanak di masjid. Di samping menggalakkan kanak kanak ke masjid, mereka perlu diasuh adab adab ketika berada di masjid. bagaimana menghormati masjid dan para jemaah ketika beribadat di masjid. Buangkan segala sikap bertegas tidak bertempat dengan kanak kanak. Itu boleh membuatkan mereka rasa bosan untuk ke masjid. Bagaikata pepatah yang tua disantuni dan yang muda disayangi.
Mana ada kanak kanak yang boleh dihalang dari bermain. Ke masjid pun tujuannya untuk bermain. Sudah menjadi tabiat kanak kanak begitu. Walau bagaimanapun bermain ketika beribadat kepada Allah perlu dijelaskan kepada mereka. Mari kita renung ketika zaman kanak kanak kita dahulu. Memang pernah dimarah tetapi tidak sampai ke tahap membenci surau atau masjid.
Pernah dibaling dengan sejadah kerana bersembang ketika kuliah. Pernah disuruh berulangkali solat semula kerana ketawa ketika solat. Pernah dimarahi kerana bergaduh berebut pemukul kerantong. Berebut azan ketika surau menerima pembesar suara. Pernah menangis ketika dimarahi kerana bermain ketika belajar Al-Quran. Berbagai bagai kenakalan dilakukan kerana ingin mencari keseronokan di masjid atau surau.
Antara perkara yang terukir di kotak ingatan hingga kini ialah suasana suasana di masjid atau surau ketika kanak kanak dahulu. Walaupun ada kaum bapa yang bersikap tegas terhadap kanak kanak tetapi ketegasannya tidak sehingga menimbulkan rasa marah dan benci terhadap surau dan masjid. Seharusnya kita yang mengambil alih zaman generasi bapa itu harus bersikap rasional terhadap kanak kanak demi melahirkan generasi cinta masjid atau surau.
Berbalik kepada masjid yang aku singgah ini, daripada setiap sudut aku lihat semua teratur dan terjaga. Aku sedikit terharu apabila melihat kerusi kerusi simen yang tersusun dibawah pondok ini. Kerusi tersebut didermakan oleh persatuan persatuan yang bukan berasaskan agama islam. Di sinilah terpancarnya semangat setia kaum yang terjalin bagi komuniti daerah ini.
Tahniah kepada jawatankuasa masjid yang menampakkan kerja dan usaha telah dilakukan dengan terserlahnya keceriaan masjid Lenggong ini.

Isnin, Januari 06, 2014

Allahyarhammah Tok Cik Soyah

Tok Cik (sebelah isteri aku) telah kembali ke rahmatullah pada 5 januari 2014 kerana sakit tua. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir lebih kurang pukul 7:30 malam di rumahnya. Jenazah beliau di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Banjar, Masjid Tinggi Bagan Serai. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh roh orang yang beriman. Al-Fatihah.